PULAU PINANG – Pas Pulau Pinang menyifatkan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang menangguhkan penguatkuasaan terhadap premis haram yang dibina atau diusahakan sebelum Mac 2008 sebenarnya bertujuan meraih kepentingan tertentu kepada parti itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungannya, Iszuree Ibrahim berkata, dasar itu digambarkan kononnya sebagai kompromi, budi bicara atau pemutihan kepada satu penyelesaian yang baik oleh kerajaan negeri.
Selain itu, kata beliau, dasar tersebut juga dijadikan alasan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk meraih simpati daripada orang awam dan pihak yang ada hubung kait dengan premis tersebut.
Ujar beliau, Guan Eng terus angkuh dengan cuba mencalar imej pihak lain dalam menjalankan penguatkuasaan integriti dan ketelusan terhadap pentadbirannya, seolah-olah sedang dianiaya atau dimangsakan.
“Jika Guan Eng yakin tiada unsur salah guna kuasa atau penyelewengan, beliau tidak perlu bimbang dengan siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Iszuree turut menempelak kempen memerangi kleptokrasi yang dijaja DAP yang disifatkan sekadar serangan kepada pihak lawan untuk menutup kelemahan parti sendiri.
Sedangkan, kata beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga penuh rasuah, penyelewengan dan kepincangan hinggakan empat wakil rakyatnya dari Melaka bertindak keluar parti baru-baru ini.
Ujarnya, anggota DAP yang cuba memperbetulkan keadaan pula menemui nasib malang didiskriminasikan atau disingkirkan dan tindakan tersebut turut didepani wakil rakyat PKR, Dr. Norlela Ariffin yang membongkar isu kilang haram di Bukit Mertajam.
“Sedangkan beliau dan masyarakat menghadapi kilang itu yang beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu yang mendedahkan penduduk kepada risiko kesihatan dan keselamatan.
“Premis haram seumpama itu sebagaimana lainnya melibatkan kepunyaan individu, tetapi kesannya terkena kepada ramai pihak.
“Oleh demikian, Guan Eng sebenarnya mahu menjaga kepentingan ramai atau kroni dan apakah kewajaran untuk tindakan penguatkuasaan mengambil tempoh yang sangat lama?” katanya. – MalaysiaGazette