SEOUL – Korea Utara akan memantau tindakan Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke wilayah Guam.
Negara itu pada minggu lalu berkata, ia sedang dalam memuktamadkan rancangan untuk melancarkan empat peluru berpandu ke perairan dekat dengan Wilayah Pasifik Amerika Syarikat di Guam.
Tentera menyatakan ia menunggu arahan daripada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Kim, yang memeriksa latihan tentera pada hari Isnin, meneliti rancangan itu untuk masa yang lama dan membincangkannya dengan pegawai tentera, kata pegawai KCNA dalam satu laporan.
“Dia berkata jika Amerika Syarikat berterusan melakukan tindakan yang sangat membahayakan di Semenanjung Korea dan di sekitarnya, menguji kawalan Korea Utara, negara itu akan membuat keputusan penting seperti yang telah diumumkan,” kata laporan agensi itu.
Rancangan Pyongyang untuk melancarkan serangan berhampiran Guam mendorong ketegangan di rantau itu minggu lalu, dengan Presiden A.S. Donald Trump memberi amaran ia akan melepaskan “kebakaran dan kemarahan” pada Korea Utara jika ia mengancam sekutu-sekutunya.
Pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah berusaha untuk mengurangkan risiko konflik yang akan berlaku, sekali gus meredakan kebimbangan global.
Kim berkata, Amerika Syarikat harus membuat pilihan yang tepat “untuk meredakan ketegangan dan mencegah konflik tentera berbahaya di Semenanjung Korea,” kata laporan KCNA.
Lawatan Kim ke Angkatan Strategik Tentera Rakyat Korea (KPA) merupakan penampilan awam pertama beliau dalam masa dua minggu.
Pemimpin Korea Utara itu telah mengarahkan tentera sentiasa siap sedia sekiranya beliau membuat keputusan untuk bertindak, kata laporan itu. – MalaysiaGazette