MANCHESTER – Jose Mourinho berpendapat bek tengah baharunya, Victor Lindelof memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali Portugal itu berkata, dia yakin pemain antarabangsa Sweden itu akan mampu menyinar tidak lama lagi selepas mendapat rentak permainan.
“Henrikh Mkhitaryan bukanlah seorang pemain pertahanan, namun pada musim lalu, dia turut memerlukan masa. Kita perlu bergerak dari masa ke semasa kerana Victor adalah seorang pemain yang fantastik.
“Saya fikir perlawanan menentang Real Madrid (di UEFA Super Cup) adalah terlalu awal buat dirinya bermain kerana Jones dan Bailly keduanya digantung perlawanan,” katanya kepada MUTV.
Mourinho menjelaskan, dia pernah memiliki pemain yang datang dari liga yang berlainan ke EPL dan kebiasaannya bukanlah satu perkara yang mudah.
“Ianya berlainan buat Lukaku dan Matic kerana mereka telah lama di Liga Perdana Inggeris.
“Saya membawa Ricardo Carvalho ke Chelsea pada 2004 dan dia adalah seorang pemain yang cukup menakjubkan.
“Dia salah seorang pemain pertahanan tengah yang cukup hebat di EPL namun juga melalui cabaran yang sukar. Ianya adalah sukar buat dirinya untuk datang dan menyesuaikan diri pada mulanya,” katanya.