Budiman Mohd Zohdi

KUALA LUMPUR – Pengusaha bot nelayan kelas A dan B khususnya di Sekinchan disaran memasang peralatan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) bagi tujuan keselamatan ketika di laut.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, insiatif perlu diambil bagi mengelakkan insiden rampasan atau tembakan ke atas bot nelayan oleh pihak berkuasa negara jiran berulang.

“Saya mohon para nelayan terutama bot-bot yang tidak diwartakan atau diwajibkan GPS ini agar dapat mengambil inisiatif supaya mengadakan GPS ini

“Ini kerana kalau berlaku pertikaian sebagai contoh kes-kes para nelayan Sekinchan itu, kita ada bukti menunjukkan bahawa bot kita berada di kawasan perairan negara,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Pada 18 Julai lalu, sebuah bot nelayan ditembak dan dua bot nelayan dirampas penguat kuasa laut Indonesia di perairan negara.

Ketika kejadian, nelayan menaiki bot bernombor SLFA 5099 ternampak sebuah kapal penguat kuasa Indonesia memasuki perairan negara lalu mengejar mereka.

Bot nelayan dari Sekinchan itu diminta kapal SLFA 5099 untuk berhenti namun mereka enggan kerana percaya masih menangkap ikan di perairan Malaysia.

Pihak Indonesia telah melepaskan beberapa das tembakan ke atas bot SLFA 5099 dan mengenai bot nelayan berkenaan.

Nelayan Sekinchan terbabit bagaimanapun berjaya melepaskan diri, tetapi bot penguat kuasa itu bagaimanapun menemui dua nelayan lain menaiki bot SLFA 4641 dan SLFA 4948.

Pada masa ini, kesemua 4,018 nelayan pukat tunda Zon B dan C di seluruh negara diwajibkan memasang sistem pemantauan berasaskan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada bot masing-masing sebelum 1 Jun 2016.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, ia sebagai langkah memastikan keselamatan nelayan terbabit dalam pelbagai aspek termasuk mencegah dari menceroboh kawasan perairan negara jiran. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast