Gambar Hiasan

CANBERRA –  Agensi Australia yang terlibat dalam pencarian bawah laut pesawat MH370 menerbitkan dua laporan hari ini yang mana mungkin boleh menjadi petunjuk di mana pesawat jenis Boeing 777 itu hilang.

Pencarian bawah laut itu dihentikan selepas hampir tiga tahun dilancarkan namun Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan agensi-agensi lain tetap meneruskan analisis model dan satelit.

Pada Rabu, Ketua ATSB, Greg Hood membuat kenyataan sejajar dengan laporan daripada Persatuan Penyelidikan Saintifik dan Saintifik dan Geosains Australia (CSIRO) untuk mengecilkan kawasan pencarian.

Menurut Hood, Geosains Australia telah menganalisa imej satelit daripada rantau tersebut yang mungkin menjadi lokasi pesawat tersebut hilang serta menemui beberapa objek buatan manusia di bahagian bawah laut.

Tambahnya, laporan terakhir mencadangkan, objek-objek tersebut “belum dikenal pasti secara muktamad adalah milik MH370.”

Tambahnya, laporan-laporan berkenaan menyediakan analisis dan penemuan yang berkaitan dengan imej satelit yang diambil pada 23 Mac 2014, dua minggu selepas kehilangan MH370 di selatan Lautan Hindi.

Jelas Hood, sementara Geosains Australia mengenal pasti number pada objek di imej satelit, resolusi imej tersebut masih tidak cukup tinggi untuk menentukan sama ada ia berasal dari MH370 atau benda lain yang terapung di lautan.

“Sangat jelas, kita perlu berhati-hati. Objek-objek ini belum dikenal pasti secara muktamad sebagai serpihan MH370,” katanya.

Menurut beliau, bukan Australia yang akan menentukan sama ada pencarian bawah laut baharu perlu dilakukan atau tidak namun data-data terkini itu “mungkin berguna” untuk usaha pencarian “yang mungkin dilakukan pada masa akan datang.”-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast