Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada sesi Rakan Bumiputera PR1MA bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.
PUTRAJAYA – Rakyat tidak perlu bimbang terhadap keupayaan tahap kecairan dana dan kemampanan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dalam menyediakan kediaman mampu milik di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kebimbangan itu tidak timbul kerana kerajaan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada PR1MA untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat.

“Ada orang yang sangsi sama ada PR1MA ini boleh berterusan ataupun secara mampan PR1MA punya program atau tidak. Setakat ini kita sudah luluskan atau agih peruntukan sebanyak RM3.9 bilion

“Saya beri jaminan sebagai sebuah kerajaan, kita akan tetap memberi sokongan kepada PR1MA supaya PR1MA cukup kewangannya untuk terus melaksanakan projek-projek akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Rakan Bumiputera PR1MA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada sesi Rakan Bumiputera PR1MA bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.

Beliau berkata, kerajaan juga sedia memberi suntikan dana tambahan kepada PR1MA dalam memastikan sasaran 500,000 unit kediaman dapat dicapai.

“Ini kita akan tentukan (suntikan) dalam sikit masa lagi dan usahlah ragu-ragu bahawa ini komitmen kerajaan, kita nak sediakan 500,000 unit kediaman, tapi tidaklah dalam sekelip mata

“Nak bina rumah pun makan masa, tapi percayalah dalam masa beberapa tahun akan datang, Insya-Allah sasaran kita akan dapat kita penuhi,” katanya.

Najib juga berkata, sejak projek PR1MA diperkenalkan kerajaan pada 2011, sebanyak 80 peratus unit kediaman berjaya dijual kepada kumpulan sasar.

“Bukan setakat jual bahkan bakal pemilik rumah sudah menandatangani perjanjian jual dan beli unit rumah yang dibina PR1MA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.