KOTA BHARU 16 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membekukan aset milik bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mengumpulkan maklumat daripada pasukan penyiasat sebelum mengambil tindakan lanjut.
Dalam masa sama beliau meminta kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penahanan Mohd. Isa.
“Saya tidak kata beliau (Mohd. Isa) ambil duit… jangan buat sebarang spekulasi kerana siasatan sedang dijalankan.
“Setakat ini kita telah merakamkan lebih 40 keterangan dari pelbagai pihak mengenai isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lafaz dan Mendatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Megeri di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan melafazkan IBR dihadapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.
Semalam, Mohd. Isa ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Beliau ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu. – MalaysiaGazette