TOKYO – Cucu sulung Maharaja Akihito, Puteri Mako dan teman lelakinya, Kei Komuro, akan mengumumkan pertunangan mereka pada 3 September ini, menurut istana.
Pengumuman yang dirancang untuk bulan Julai lalu telah ditangguhkan selepas pelarasan dibuat untuk jadual keluarga diraja, lapor Japan Times.
“Pada pagi 3 September ini, Maharaja dijangka melaksanakan prosedur untuk meluluskan perkahwinan mereka.
Ketua agensi Shinichiro Yamamoto akan mengadakan persidangan akhbar untuk mengumumkan pertunangan pasangan itu setelah mendapat persetujuan Maharaja dan Maharani serta bapa dan ibu Puteri Mako.
Pertunangan itu kemudian akan dikongsi kepada umum.
Pasangan itu, kedua-duanya berusia 25 tahun bertemu setahun lalu ketika menuntut di International Christian University di Tokyo.
Kumoro kini bertugas di sebuah firma peguam.
Perkahwinan pasangan itu dijadualkan berlangsung pada tahun depan, selepas Puteri Mako menyerahkan status diraja, menurut perundangan Jepun.
Kali terakhir majlis perkahwinan puteri Jepun adalah pada bulan Oktober 2014 apabila Puteri Noriko, anak perempuan sepupu Maharaja Akihito, Putera Takamado, berkahwin dengan Kunimaro Senge.
Perkahwinan Puteri Mako adalah yang pertama bagi anak kedua maharaja, Putera Akishino. – MalaysiaGazette