Home Dunia Australia dakwa suspek bakar masjid, lakukan keganasan

Australia dakwa suspek bakar masjid, lakukan keganasan

MELBOURNE – Polis Australia telah mendakwa tiga lelaki kerana melakukan tindakan pengganas dengan membakar masjid komuniti Syiah di Melbourne tahun lepas.

Dua orang lelaki itu sudah berada dalam tahanan dan menunggu perbicaraan kerana disyaki merancang serangan bom di bandar kedua terbesar di Australia tahun lalu, manakala seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Melbourne – ditahan semalam.

Ketiga-tiga mereka menghadapi penalti maksimum hukuman penjara seumur hidup atas serangan membakar di Pusat Islam Imam Ali pada Disember 2016.

Polis Persekutuan Australia berkata, penyerang tempat ibadat tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Adalah jelas bahawa serangan ini dibuat untuk menakutkan dan mempengaruhi mereka yang menghadiri masjid ini,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis, Ian McCartney pada hari Ahad.

Polis berkata, penangkapan lelaki itu pada hari Sabtu selepas siasatan menyeluruh terhadap kebakaran di masjid Melbourne – tetapi berkata, ia tidak berkaitan dengan apa-apa ancaman langsung kepada masyarakat.

Dua lelaki lain yang menghadapi tuduhan sedang dalam tahanan dan menunggu perbicaraan kerana didakwa merancang serangan militan sekitar Hari Krismas 2016 di Melbourne.

Kedua-dua, berusia 25 tahun dan 27 tahun, juga akan didakwa atas kesalahan pengganas kerana menyebabkan kebakaran di Pusat Islam Imam Ali pada November 2016 sebelum ini.

Lelaki yang ditahan pada hari Sabtu akan didakwa di mahkamah hari ini dan dua lagi pada hari Isnin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast