Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali diiringi YDP Perkasa Wilayah Persekutuan, Datuk Yusof Abd.Hamid (kanan) dan Naib Presiden Perkasa, Datuk Masood Zainal Abidin (kiri) pada Kongres Melayu Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalurkan terus lima peratus royalti minyak kepada kerajaan Pas Kelantan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan menyalurkan duit royalti itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) atas nama wang ihsan.

“Kali ini, saya cadangkan Najib salurkan secara terus kepada kerajaan Pas. Biar kerajaan negeri urus sendiri wang itu untuk memaju dan membangunkan rakyatnya.

“UMNO sudah berbaik dengan Pas dan Pas pula sudah makin matang berbanding sebelum ini. Maka tiba masanya Kerajaan Persekutuan menterjemahkan kepercayaannya kepada Pas dengan menyerahkan lima peratus duit royalti minyak itu kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Melayu Perkasa Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Dr. Ibrahim berkata, sudah sampai masanya rakyat Kelantan menikmati pembangunan setelah hampir 27 tahun berada bawah pemerintahan Pas.

Ujar beliau, malangnya bagi rakyat Kelantan masih lagi hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang disebabkan berada dalam pemerintahan pemimpin yang tidak pandai berfikir untuk memajukan negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast