CAPE TOWN – Grace Mugabe yang didakwa mencederakan seorang wanita, tidak menyertai suaminya, Robert Mugabe pada sidang kemuncak di Afrika Selatan.
Wanita pertama Zimbabwe itu telah memohon imuniti diplomatik selepas didakwa melakukan serangan ke atas Gabriella Engels pada minggu lalu.
Kelibat isteri Presiden Zimbabwe itu tidak pernah kelihatan sejak dia dituduh menyerang seorang model berusia 20 tahun dengan kabel sambungan elektrik hujung minggu lalu di sebuah hotel Johannesburg.
Kes itu menjadi tumpuan media.
Sementara itu penunjuk perasaan berkumpul di luar lokasi sidang kemuncak dengan poster “Grace memalukan”.
Dakwaan serangan itu menimbulkan konflik politik bagi Afrika Selatan dan Zimbabwe yang mempunyai hubungan kukuh dari segi ekonomi dan sejarah.
Grace sebelum ini dijangka menyertai mesyuarat Pembangunan Komuniti Afrika Selatan selama dua hari dengan program bersama wanita-wanita pertama.
Bagaimanapun, Grace, 52, tidak bersama wanita-wanita pertama yang lain di platform yang disediakan.
Mugabe, 93, merupakan antara lapan pemimpin serantau yang hadir pada mesyuarat itu.
Polis Afrika Selatan berkata, polis telah meletakkan amaran tinggi bagi mengelakkan Grace meninggalkan negara itu termasuk mempertimbang mengenakan waran tangkap. – MalaysiaGazette