KUALA LUMPUR – Teka-teki siapa pembawa obor yang dirahsiakan selama ini untuk menyalakan obor kawah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akhirnya terjawab malam tadi.
Atlet terjun negara berusia 18 tahun, Nur Dhabitah Sabri muncul menjadi pemilik akhir pembawa obor itu dengan aksi dramatik penuh memukau.
Nur Dhabitah yang terkenal dengan senyum manis pada setiap kejohanan tampil penuh girang ketika menyambut obor daripada rakan, Pandelela Rinong.
Penonton mula bersorak apabila pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 ‘diterbangkan’ menuju ke kawah berwarna keemasan itu untuk menyalakan obor kawah.
Obor kawah itu diinspirasikan daripada pelita minyak tanah tradisional Malaysia yang digunakan untuk menyambut tetamu semasa kenduri-kendara.
Motif tenunan pada kawah itu melambangkan kekuatan dalam kesepaduan dan sebagai simbolik bagi semua atlet dan pegawai untuk bangkit bersama-sama sebagai satu keluarga. Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap keindahan warisan kraf tradisional rakyat Malaysia untuk dikongsi dengan jiran-jirannya.
Dalam pada itu difahamkan, Nur Dhabitah menjadi atlet wanita pertama negara dipilih menyalakan obor kawah dalam sejarah enam Sukan SEA yang dianjurkan Malaysia sejak 1965 dan dia dipilih bagi melambangkan masa depan sukan Malaysia.
Anak kelahiran Kuala Lumpur memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform berirama di Glasgow serta pemenang dua pingat emas,masing-masing pada Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan SEA Singapura 2015. – MalaysiaGazette