Shaa kini muncul dengan video muzik lagu Pertama Kali

KUALA LUMPUR – Lagu yang diberi judul Pertama Kali tiba-tiba telah melonjakkan nama bakat baru Shaa dalam sekelip mata.

Single yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Nova Music sejak empat bulan menerima kejutan kerana berjaya menjuarai carta radio Hits Gegar selepas hanya empat minggu dikeluarkan.

Kali Pertama terus mengekalkan kejuaraan selama sejumlah enam minggu selain turut menjuarai carta Manis 17’ selama lapan minggu dan carta Hits Tempatan Joox.

Lagu tersebut juga mencapai kedudukan Top 10 di carta Era 40 dan Top 30 di carta ‘Hot fm 30’ setakat ini. Pertama Kali juga mendapat capaian tinggi di strim di pelbagai pelantar striming muzik seperti Spotify, Joox, Yonder dan Apple Music.

Sementara itu, Shaa atau nama sebenarnya, Juzratul Nisha Johari adalah bakat baru dalam dunia muzik tanahair yang perlu diberi perhatian.

Karier wanita berusia 22 tahun itu bermula sebagai penyanyi jalanan bersama kumpulan Darulaman Buskers yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Persembahan Shaa yang mendendangkan lagu-lagu yang bernada tinggi sering kali menambat hati penonton terutama ketika membawa lagu-lagu popular nyanyian penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Shaa mula mendapat perhatian syarikat-syarikat rakaman apabila rakaman video beliau menyanyikan lagu Putus Terpaksa nyanyian Ziana Zain menjadi viral di laman media sosial .

Malah, banyak syarikat rakaman berebut untuk mendapatkan Shaa sebagai artis mereka tetapi dia akhirnya membuat keputusan untuk bersama Nova Music.

Shaa telah disunting oleh komposer tidak asing lagi, Eddie Hamid yang bertugas sebagai Pengarah A&R Nova Music.

Setelah sah menjadi artis rakaman, Nova Music membuat keputusan untuk merakam Pertama Kali ciptaan Shaa sendiri yang ditulis semasa dia berumur 15 tahun.

Menariknya, lagu tersebut yang dimuat naik ke YouTube dengan judul Untukmu Sayang (Pertama kali) pada awal tahun 2015 menampilkan hanya nyanyian dan lirik tanpa sebarang muzik telah mencatat tontonan lebih daripada 700,000 ketika itu.

Video lirik lagu Pertama Kali telah pun mencatat tontonan lebih daripada lapan juta di YouTube setakat ini.

Kini, video muzik rasmi lagu tersebut telah disiarkan secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music Vidoes bermula 18 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast