Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PPB, semalam.

PUTTRAJAYA – Kementerian Luar hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memperkukuh integriti dan menghindar rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan warga kementerian.

Majlis ikrar yang berlangsung di Wisma Putra di sini itu diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Ramlan Ibrahim dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki.

Ramlan berkata Kementerian Luar sebagai kementerian yang berada di barisan hadapan dalam hubungan antarabangsa, memerlukan penjawat awam yang mempunyai tanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan berdisiplin.

“Ini adalah bagi menjaga nama baik serta imej negara dan kerajaan baik di dalam atau di luar negara. IBR pada hari ini adalah antara usaha kementerian untuk mencapai hasrat itu serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab, beramanah dan berintegriti dalam pelbagai aspek pelaksanaan tugas.

“Kementerian menyedari hakikat bahawa terdapat ruang yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan lagi nilai-nilai integriti, akauntabiliti dan budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan penjawat awam di kementerian ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ramlan yang mendaftarkan diri sebagai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) SPRM, menggalakkan semua warga kementerian untuk turut mendaftarkan diri bagi menyumbang tenaga, buah fikiran, dan menyebar mesej anti rasuah kepada seluruh masyarakat.- BERNAMA