KUALA LUMPUR – Malaysia turut membantu mencari krew kapal pemusnah tentera laut Amerika Syarikat, USS John S. McCain yang hilang akibat berlanggar dengan kapal tangki di perairan Singapura pagi ini.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, Tentera Laut Di_Raja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.
“KD Handalan, SuperLynx (helikopter), kapal APMM dan pesawat TUDM dikerah bantu SAR 10 anggota #USSJohnSMcCain yangg hilang setelah berlanggar Timur Johor,” katanya dalam akaun twitternya.
Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, operasi SAR diaktifkan pada pukul 8.45 pagi tadi.
Ia membabitkan tiga kapal APMM, iaitu KM Marudu, Petir 12 dan Penggalang, katanya.
Kapal pemusnah John S. McCain dilaporkan mengalami kerosakan selepas berlanggar dengan kapal tangki, AN Alnic ketika ia melakukan lawatan rutin ke Singapura.
“Kerosakan dan kecederaan masih lagi disiasat,” kata tentera laut Amerika Syarikat namun CNN melapor sepuloh krew kapal pemusnah itu hilang akibat kemalangan tersebut. – MalaysiaGazette