Home Nasional Polis tahan beberapa suspek militan

Polis tahan beberapa suspek militan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bergambar kenangan bersama anggota sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi pada Majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan beberapa suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan militan menerusi beberapa operasi Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman bersempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tanpa mendedahkan jantina dan bilangan suspek itu, beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan rakyat asing.

“Ya, kami ada tahan beberapa suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di seluruh dunia manakala maklumat terperinci mengenai tangkapan ini akan menyusul kemudian.

“Oleh itu, kami akan terus mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa,” katanya dalam sidang berita selepas pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPs) Tahun 2017 di Bukit Aman, di sini.

KL2017, yang dirasmikan Sabtu lepas dan bakal berakhir pada 30 Ogos ini, menyaksikan 38 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 404 acara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden keganasan di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini, Khalid berkata pihaknya mengambil beberapa langkah pencegahan dan bersiap sedia untuk menghalang keganasan di negara ini dengan melakukan rondaan bersama-sama anggota Angkatan Tentera Malaysia di beberapa kawasan tumpuan awam dan pelancong di sekitar ibu kota.  – MalaysiaGazette