Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bersalaman dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sambil diperhatikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (tengah) pada Majlis Pelancaran Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPS) Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan salah seorang suspek kes tembak mati anggota polis di Changlun, Kedah merupakan pesalah yang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Khalid memberitahu, pergerakan salah seorang suspek telah diawasi di Changlun sebelum ini.

“Dia (suspek) memang di situ sebab dia disekat kediamannya di situ. (Jadi) dia memang di situlah,” katanya selepas pelancaran modul peningkatan integriti My Psikologi Spiritual (MyPS).

Kini siasatan sedang dijalankan bagi menyiasat motif kejadian serta kaitan dengan kegiatan jenayah lain, katanya.

Terdahulu dua suspek kes berkenaan direman semalam sehingga 26 Ogos depan kerana disyaki terlibat dalam kes tembak mati seorang anggota polis Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 36.

Ketika ditanya adakah perlu untuk pihaknya menasihati pegawai dan anggota polis supay sentiasa berwaspada, Khalid berkata: “Semua anggota dah tau dah sentiasa kena berawas,”.

Sementara itu, Khalid berkata, pelancaran MyPS adalah selaras dengan Pelan Strategik Lima Tahun Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam meletakkan pihak berkuasa itu berintegriti tinggi.

Justeru inisiatif melalui psikologi dan kerohanian diterapkan bagi menjayakan hasrat tersebut, katanya.

Modul ini dibangunkan dalam tempoh enam bulan dengan sokongan Jabatan Agama Islam, Institut Integriti Malaysia serta pakar-pakar psikologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast