Reaksi Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (RCI) bagi menyiasat kembali peristiwa berdarah Memali dilihat mampu dijadikan pengajaran dalam menangkis ancaman pengganas ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, kita tidak boleh memandang ke belakang dalam hal berkenaan kerana jika RCI itu ditubuhkan banyak perkara boleh dipelajari khususnya dalam mendepani ancaman pengganas IS dan Daesh.

“Kalau kita melihat ke belakang untuk mempelajari dan mendapat iktibar daripada Memali melalui RCI, ia tiada masalah.

“Kita boleh belajar untuk tidak mengulangi insiden-insiden seperti itu dan lebih penting lagi ancaman baru seperti yang ada kaitan dengan IS, Daesh dan apa yang menular di Marawi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ke-27 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pada majlis itu seramai 607 anak anggota dan veteran ATM dari seluruh negara menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan.

Mengulas lanjut Hishamuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, ATM dan Mindef terpaksa berdepan dengan pelbagai perkara membabitkan ancamana penganas dan menerusi RCI yang hendak ditubuhkan itu ia boleh dijadikan rujukan agar IS dan Daesh tidak bertapak di negara ini walau seinci sekalipun.

“Pagi tadi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermesyuarat dan dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak dan kita berjumpa tiap-taip minggu.

“Kita dimaklumkan tentang apa yang berlaku di Marawi dan apa yang kita hadapi dalam masa terdekat ini serta apa jua yang kita perlu tangani.

“Keamanan dan kesejahteran negara tidak datang secara kebetulan dan ini orang tidak hargai. Yang saya bimbang orang mengambil mudah dan jangan ingat ia tidak boleh berlaku kepada kita kerana pada masa itu sudah terlewat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast