KUALA LUMPUR – Peminat fanatik David Beckham di Malaysia boleh bertemu bekas pemain Manchester United (MU) apabila beliau akan berkunjung ke Kuala Lumpur pada 22 September ini.
Syarikat insurans, AIA Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan personaliti bola sepak berpengaruh dunia itu akan hadir ke Kuala Lumpur sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival.
“Mulai minggu ini, lengkapkan tugasan penjagaan kesihatan atau senaman #BeBetter untuk memenangi pelbagai hadiah dan peluang bertemu Duta Global AIA, David Beckham,” kata penganjur dalam laman Facebook rasmi AIA Malaysia.
Kenyataan itu hanya menyebut Beckham akan berada di Kuala Lumpur pada 22 September namum tidak menyatakan lokasi atau butiran acara bakal dihadiri Beckham.
Mac lalu, suami kepada Victoria atau Posh Spice itu dilantik sebagai Duta Global AIA.
Ini merupakan kunjungan kedua Beckham ke Kuala Lumpur selepas beliau menghadiri sambutan ulang tahun jam jenama mewah di Pavilion pada November 2014.