KUALA LUMPUR – Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor mensasar mengumpul dana sebanyak RM7.5 juta setahun untuk memberi membantu pendidikan kepada 5,000 pelajar miskin.
Organisasi itu yakin mampu mencapai sasaran itu dengan jalinan kerjasama dan sumbangan dari sektor korporat dan swasta yang dilakukannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff berkata, pihaknya memerlukan dana yang besar bagi membela nasib pelajar miskin B40.
Mohamed Ghazali menjelaskan, yayasan itu telah menawarkan program baharu iaitu Program Amal B40 di bawah Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) pada Mac lalu.
“Setiap pelajar tajaan Yayasan Raja Zarith Sofiah dibawah Program ZSEIFA B40 akan menerima peruntukan kewangan berjumlah RM1,500 setahun bagi tanggungan pendidikan asas pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga miskin tegar.
“Dengan tajaan ini, setiap pelajar yang terpilih akan diberi RM100 sebulan selama setahun dan juga elaun permulaan sekolah sebanyak RM300 untuk membeli pakaian, beg sekokah dan sebagainya pada setiap awal tahun persekolahan bermula,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian bantuan kewangan sekolah kepada 20 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Muda Ampang, SK Sri Petaling dan SMK Bandar Baru Ampang (dua pelajar).
Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor ditubuhkan pada tahun 2012.
Mengulas lanjut mengenai program B40, Mohamed Ghazali berkata, selain golongan berpendapatan rendah, program berkenaan juga mensasarkan individu hilang keupayaan atau hidup dengan ibubapa atau penjaga yang sakit kronik, uzur serta miskin.
Justeru sebagai menggiatkan lagi bantuan itu, katanya, yayasan tersebut merancang mengumpul dana sebanyak RM7.5 juta melalui program Makan Malam amal ‘B40 Golden Heart’ tidak lama lagi.
Ujarnya, program itu direka khusus untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan menangani isu semasa seperti pemotongan bajet dalam sektor pendidikan.
Tajaan dana kewangan ini hanya ditawarkan sekali untuk pelajar miskin dan mereka diberi peluang untuk memohon kali kedua selepas tajaan bertempoh setahun itu, katanya.
“Dalam hal ini, kita akan mengambil kira kedudukan keluarga, nasib ibu bapa seseorang pelajar itu sebelum meluluskannya dan perlu kerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pendidikan berkaitan.
“Setakat ini sambutannya menggalakkan daripada pihak luar untuk program ini, maka kali ini 20 pelajar terpilih ditaja, dan insyaAllah bulan depan 50 pelajar dapat ditaja iaitu akan dianjurkan di Johor nanti.
“Bantuan RM100 yang diberi setiap bulan memang tidak cukup jika ikut situasi semasa, bagaimanapun kita akan teliti dan tambah lagi pada masa akan datang mengikut kemampuan yayasan.
“Selepas itu program ini akan digerakkan ke setiap negeri pada masa akan datang dengan sokongan padu dan sumbangan korporat, swasta dan individu,” tegasnya sambil mengesahkan dana itu akan diagihkan bulan depan. – MalaysiaGazette
Bagaimana hendak memohon bantuan dari Yayasan Raja Zarith Sofiah utk anak2 sekolah dan apa syarat serta dokumen yang perlu disertakan?..terima kasih..
Puan boleh cuba emelkan kepada mereka melalui alamat emel [email protected]
Assalamualaikum
bagaimana caranya untuk memohon bantuan dari Yayasan Zarith Sofiah untuk anak-anak belajar di universiti