Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong (tiga dari kiri) bersama-sama pemimpin Gerakan Pulau Pinang lain ketika sidang akhbar berhubung isu kilang haram di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, Georgetown, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – `Kehilangan’ Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail khususnya dalam isu kilang haram di kawasannya di Permatang Pauh di sini terus menjadi pertikaian banyak pihak.

Turut mempersoal sikap berdiam diri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah Gerakan negeri ini yang berasa hairan kerana sehingga kini Dr. Wan Azizah langsung tidak membuat sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

Menurut Naib Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Dr. Wan Azizah bukan sahaja `menghilangkan diri’ ketika isu itu berlaku di kawasan Parlimen yang diwakilinya, malah langsung tidak bersuara ketika wakil rakyat partinya sendiri dihentam kerana membangkitkan isu berkenaan.

“Mana Dr. Wan Azizah ketika penduduk khususnya di Kampung Sungai Lembu terjejas dengan pencemaran dari kilang haram habuk kayu itu?

“Beliau seolah-olah langsung tidak mempedulikan dan membela nasib penduduk yang berdepan ancaman dari kilang haram itu sejak hampir 10 tahun lamanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tong Keong turut melahirkan rasa simpati dengan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin yang ketika ini bersendirian berdepan kritikan rakan sekutunya sendiri semata-mata kerana membela nasib penduduk di kawasannya.

Tambah beliau, satu-satunya individu yang berani tampil mempertahankan Norlela ketika ini hanyalah ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

“Mana suara-suara ADUN PKR lain di negeri ini? Mengapa mereka tidak berani tampil mempertahankan Norlela? Adakah mereka takut dengan tindakan daripada DAP?” katanya.

Dalam pada itu, Tong Keong berkata, Gerakan akan memasukkan penyelesaian isu kilang-kilang haram di negeri sebagai sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan kebajikan penduduk yang terjejas dengan kewujudan kilang haram berkenaan dapat dibela memandangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini dilihat tidak berminat menyelesaikan isu terbabit sebaliknya hanya menyalahkan Kerajaan BN terdahulu. – MalaysiaGazette