KUALA LUMPUR – Penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip akan menjayakan konsert amal kemanusiaan bagi membantu nasib pelarian Rohingya malam esok.
Persembahan diberi nama Konsert Gala Pelarian terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Konsert tersebut mengambil inspirasi daripada album Sweet Charity berjudul Pelarian terbitan tahun 1980.
Menurut penyanyi yang dikenali sebagai Papa Rock itu, menerusi konsert terbabit, pihaknya berharap dapat memungut antara RM400,000 hingga RM500,000 bagi tujuan membantu pelarian ertnik Rohingya.
Selain itu, Pekin Ibrahim turut dijemput untuk membacakan puisi manakala Man Kidal – pemain gitar handalan akan turut mengiringi Konsert Gala Pelarian berkenaan.
Konsert yang dianjurkan syarikatnya sendiri, Rasamusic Sdn Bhd, itu bakal menyajikan 50 peratus lagu Sweet Charity dan selebihnya dendangan bertemakan perjuangan.
Sementara itu, tiket dijual pada harga RM4,000, RM6,000, RM8,000 dan RM15,000 bagi satu meja.
Tiket boleh didapati menerusi www.ilassotickets.com atau dengan menghubungi 03-21706333. – MalaysiaGazette