KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini membidas penularan maklumat mengenai dakwaan pihaknya telah mengubah sejarah berkaitan gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kementerian menafikan dakwaan kononnya tidak memasukkan gambar Tun M sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3.
“KPM ingin menyatakan rasa kesal terhadap tuduhan berkenaan kerana hasil semakannya mendapati buku yang dimaksudkan adalah bukan terbitan dari kementerian ini.
“KPM ingin menegaskan bahawa setiap penulisan buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan dokumen kurikulum dan fakta sebenar yang berlaku pada masa atau tempoh berkenaan,” kata kenyataan media hari ini.
Selain daripada dakwaan penerbitan buku tersebut, KPM turut menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis atau lisan kepada sekolah-sekolah di bawah kementerian agar menanggalkan gambar Tun M seperti ditularkan dalam media sosial.
Justeru, KPM telah membuat laporan polis bagi mengambil tindakan terhadap penerbit buku tersebut dan pihak yang telah memulakan penyebaran maklumat palsu berkenaan ke dalam media sosial.
KPM turut memohon kepada netizen supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu tersebut dalam media sosial agar ia tidak menjadi polemik yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette