KUALA LUMPUR – Walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan wujud rundingan antara PKR dan Pas, namun perkara itu di luar pengetahuan Pengarah Pilihan Raya parti Islam itu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri menafikan sama sekali dakwaan Azmin mengatakan rundingan hanya antara PKR dan Pas untuk menghadapi pilihan raya umum depan nanti.
“Sebarang isu mengenai operasi, perjalanan pilihan raya, sayalah orangnya bertanggungjawab.
“Jika adalah sebarang perundingan tentulah saya orang pertama parti yang tahu. Ini bagaimana saya yang tak tahu ada perundingan? Saya mengesahkan tidak ada sebarang perundingan,” beliau dipetik berkata.
Azmin baru-baru ini mengakui mereka mengadakan perbincangan dengan Pas tanpa melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain dan menyifatkan ia tidak ada kena mengena dengan blok pembangkang.
Mohamed Azmin berkata, beliau bukan menjadi wakil PH dalam rundingan itu tetapi ia merupakan langkah untuk mengekalkan kerjasama dengan Pas.
April lalu, Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.
Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat banyak pelanggaran syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan ini.
Secara tidak langsung hubungan Pas di Selangor dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan seperti DAP, PKR dan PAN juga berakhir.
Bagaimanapun, Pas Selangor masih mengekalkan jawatan Exco Kerajaan Negeri di Selangor. – MalaysiaGazette
Comments are closed.