Pesawat MiG-31

MOSCOW – Pesawat pemintas canggih yang sedang dibangunkan Rusia sejak beberapa tahun lalu mampu sampai ke angkasa, malah mampu beroperasi tanpa juruterbang, kata Ketua Pegawai Eksekutif MiG yang terlibat dalam projek tersebut.

Penyelidikan dan pembangunan PAK DP (perspektif penerbangan canggih pesawat pemintas jarak jauh) dilancarkan oleh MiG Corporation pada 2013. Media menyifatkan PAK DP dikhususkan secara tidak rasmi untuk MiG-41 yang dijangka menggantikan pesawat pemintas jarak jauh MiG-31 dan variannya yang telah usang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MiG Corporation, Ilya Tarasenko yang memberi bayangan terhadap pembangunan yang sedang dilakukan untuk pesawat tersebut berkata, pesawat pejuang baharu itu adalah pengganti MiG-31 .

“(Pembangunan ini) imej pesawat berada di peringkat akhir. Peralihan secara berperingkat dilakukan daripada MiG-31 kepada PAK DA'” kata Tarasento kepada RT pada Ekspo Ketenteraan-2017 di Kubinka di wilayah Moscow.

Bagaimanapun, pembangunan pesawat itu bukan hanya memodenkan pesawat MiG-31, tetapi ia juga merupakan jentera baharu yang ‘berkeupayaan beroperasi di ruang angkasa, dilengkapi senjata baharu, dengan kalajuan baharu dan dengan jarak operasi baharu’, kata Tarasenko kepada saluran televisyen Zvezda.

“Ia adalah pesawat baharu sepenuhnya, dengan teknologi baharu untuk beroperasi di zon Artik. Pesawat ini akan mengawal seluruh sempadan negara kita. Kemudian, projek ini akan beroperasi tanpa menusia,” kata Tarasenko kepada agensi berita, TASS.

Pesawat itu masih lagi pada peringkat pembangunan, ia mungkin dihasilkan pada pertengahan 2020, katanya.

” Kami sedang menawarkan kemahiran teknikal, oleh itu pelanggan kami boleh membuat keputusan terhadap keperluan pembangunan pesawat ini. Menurut jangkaan dalaman kami, kami perlu melakukan pembangunan secara berperingkat pada 2025,” kata Tarasenko kepada RT.

Bagi memenuhi permintaan, pesawat baharu itu perlu mampu terbang pada kelajuan sekurang-kurangnya empat kali lebih pantas daripada kelajuan bunyi, lapor media Rusia sebelum ini yang memetik juruterbang ujian, Anatoly Kvochur.

Jika pesawat itu mahu mencapai kelajuan tersebut, berkemungkinan besar ia akan dilengkapi dengan sistem kawalan canggih bagi membantu juruterbangnya menghadapi keadaan penerbangan yang ekstrem, kata pakar penerbangan, Fabrizio Poli.

“Sudah pasti ia perlu ada peralatan canggih dalam pesawat pejuang itu kerana untuk terbang pada kelajuan sedemikian, otak manusia tidak mampu berfikir dengan pantas.

“Sudah pasti terdapat banyak teknologi baharu yang perlu diletakkan dalam pesawat ini,” kata Poli kepada RT.

Pesawat tersebut juga perlu dilengkapi dengan senjata laser memandangkan Rusia memiliki prototaip senjata laser, menurut CEO Radio-Electronic Technologies Concern, Vladimir Mikheev yang percaya sistem seperti itu akan dilengkapi pada pesawat pejuang generasi keenam.

“Senjata laser akan membolehkan pesawat pemintas memintas peluru berpandu musuh dan memusnahkan sasaran,” kata Poli. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast