BATU PAHAT – Seorang bapa dan anak perempuannya maut selepas kereta Perodua MyVi dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 9 Jalan Kluang – Batu Pahat kira-kira 8.30 malam tadi.

Mangsa, Mohd. Irwan Shah Mohd Yusop, 36, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit dan anaknya Nur Syahzanani Munirah, 17, yang dalam perjalanan dari arah Sri Gading menghala ke Batu Pahat, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan lalu masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Ford Fiesta.

Tambahnya, sebuah kereta Honda Civic dari arah Batu Pahat yang tidak dapat mengelak kemalangan itu kemudiannya melanggar belakang kenderaan terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai maut terbakar dalam kereta dinaiki mereka manakala mangsa lain dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, sebua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat pada 8.27 malam.

Pegawai Operasi PBK II Misro Rusdan bersama enam anggota kemudiannya mengeluarkan mangsa selepas api berjaya dipadamkan dan operasi mereka tamat pada 9.15 malam. – MalaysiaGazette.