Datuk Ser Najib Tun Razak di Majlis Jamuan Rakyat di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 5,000 penduduk setempat selain dihadiri Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

PULAU PINANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan projek tambak laut seluas 1,800 hektar yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang di Balik Pulau di sini tidak akan diluluskan jika terbukti menjejaskan penduduk dan alam sekitar.

Menurut beliau, dua kriteria itu akan menjadi pertimbangan utama Kerajaan Pusat dalam menilai projek tersebut selain pelan alternatif yang dapat menjimatkan wang rakyat.

Ujar beliau, projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan itu tidak akan dilaksanakan sekiranya didapati menjejaskan mata pencarian kira-kira 1,500 nelayan khususnya di bahagian Balik Pulau.

“Kepada golongan nelayan di sini, saya harap jangan bimbang kerana jika cadangan ini merugikan anda dan rakyat, Kerajaan Pusat tidak akan menyokong projek seperti ini,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Jamuan Rakyat di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 5,000 penduduk setempat selain dihadiri Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang akan dijual sebagai modal bagi menampung kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.

Sementara itu, Najib berkata, sekiranya Kerajaan Pusat menolak cadangan tambak laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan, keputusan tersebut tidak sewajarnya disalah anggap sebagai bermotifkan politik.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat tidak menilai cadangan itu semata-mata kerana dibawa parti pembangkang sebaliknya berpegang kepada dua syarat utama iaitu kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Bukan pendirian kita menolak mana-mana projek pembangunan semata-mata kerana dibawa parti pembangkang, sebab jika begitu keadaannya tidak mungkin pelbagai pembangunan dibawakan Kerajaan Pusat di negeri ini selama ini walaupun di bawah pentadbiran DAP,” katanya. – MalaysiaGazette