Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad memberi nasihat kepada empat golongan yang berkaitan dengan isu perceraian.

Golongan itu ialah pasangan suami isteri, keluarga pasangan berkenaan, wartawan dan masyarakat awam.

Menurut beliau, bagi pasangan suami isteri, agama Islam mengajar umatnya agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara baik dan jika mahu membubarkan ikatan itu juga perlu dilakukan dengan cara baik.

Katanya, sewajarnya suami isteri tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas pasangan masing-masing kerana ia satu kesilaan besar dalam ikatan yang pernah berlaku antara mereka berdua.

“Dalam konteks hari ini, cara ihsan itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah lagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita.

“Ini termasuklah proses dokumentasi. Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu idah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut.

“Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas idah tamat,” tulis beliau dalam ruangan Bayan Linnas Siri Ke-109: Isu Perceraian Selebriti – Jagalah Adab-Adabnya.

Tulisan itu merujuk kes perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun dengan isterinya, Siti Arifah Amin atau Joy Revfa yang tuding menuding secara terbuka sehingga mendapat perhatian umum.

Menurut Dr. Zulkifli, selain suami isteri itu, keluarga pasangan berkenaan iaitu mentua, saudara lelaki dan perempuan juga dinasihat tidak mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan dengan membuat kenyataan di media sosial.

Sebaliknya, ujar beliau, keluarga itu harus menyerahkan urusan berkenaan kepada mereka yang ada kuasa dan autoriti bagi mengelak masalah lebih besar, selain mengundang dosa dan berlaku zalim kerana membuka aib orang.

“Sebaiknya, berikanlah bantuan perlindungan dan kos-kos terbabit untuk penyelesaian kes yang lebih cermat dan berkesan,” katanya.

Zulkifli turut memberi peringatan kepada wartawan yang membuat liputan isu berkenaan agar mengelakkan daripada mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ia adalah keaiban seorang muslim.

“Saya nasihat kepada rakan wartawan yang membuat liputan isu ini, termasuklah penulis akhbar, blog dan lain-lain untuk mengelak menulis sangkaan yang tidak pasti.

“Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun (selidik sebelum sebar) untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti iaitu mahkamah,” ujar beliau.

Katanya, masyarakat awam juga dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada memberi komen di media sosial yang tidak berdasarkan ilmu, sebaliknya sangkaan semata-mata.

Beliau berharap, dengan nasihat dan pesanan itu dapat menghentikan budaya fitnah dan mengumpat yang melanda, memperbaiki hubungan kekeluargaan dan penyelesaian yang menenangkan dapat diperolehi dalam kalangan pihak bertelingkah. – MalaysiaGazette