Nazriq mula mendapat perhatian selepas gambar beliau yang memakai topeng Iron Man dimuatnaik oleh salah seorang pelajar beliau, Izyan Farhani di laman sosial baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Mohd Nazriq Noor Ahmad, 29, tidak menyangka yang tindakan beliau memakai topeng ‘Iron Man’ semasa mengajar telah mendapat perhatian para netizen antarabangsa.

Anak jati Kuala Lumpur ini bertugas sebagai Pensyarah di Pusat Asasi UIAM dan IIUM Crescent (Center for Strategic Continuing Education and Training).

Nazriq mula mendapat perhatian selepas gambar beliau yang memakai topeng Iron Man dimuatnaik oleh salah seorang pelajar beliau, Izyan Farhani di laman sosial baru-baru ini.

Apabila ditanya bagaimana beliau mendapat idea untuk menggunakan topeng tersebut, Nazriq berkata: “Sekitar tahun 2014, saya telah dimasukkan ke wad kerana penyakit berkaitan jantung. Dalam proses penyembuhan dan rawatan, saya perlu memakai sebuah alat di atas dada untuk memantau keadaan jantung, dan alat tu mengeluarkan lampu biru.

Keluarga saya ingin menceriakan keadaan, dan saya sudah lama meminati komik dan filem Marvel, jadi mereka memberikan topeng Iron Man semasa saya di hospital, jadi, alang-alang sudah ada alat dengan lampu biru di dada pada ketika itu… dan ada topeng Iron Man.”


Gambar ihsan: Nazriq Ahmad

Menurut pemegang Sarjana bidang linguistik ini lagi, beliau ingin membuktikan yang walaupun hidup diduga, segalanya mungkin jika kita dapat berfikir positif dan beliau kini sudah sembuh daripada penyakit itu.

“Alhamdulillah kini sudah sembuh, tapi saya masih menggunakan topeng itu dan benda-benda lain, kerana pada saya, kelas tidak sepatutnya bosan, hanya syarahan dan salin nota semata-mata. Topeng itu mempunyai nilai dan pengajaran yang saya mahu sampaikan kepada para pelajar,” tambahnya ketika dihubungi Bernama Lifestyle and Youth hari ini.

Beliau juga sedar sedar yang cara beliau mengajar dan melayan para pelajarnya sangat mempengaruhi keyakinan diri dan semangat kerja mereka dan berpendapat yang jika keyakinan tidak diterap, sukar untuk para pelajarnya untuk meletakkan usaha yang bersungguh-sunguuh untuk menjadi lebih baik.

Beliau mengakui masih terkejut dengan perhatian yang diperolehi daripada para netizen.

“Cara saya mengajar memang bukan cara biasa dari masa saya mula mengajar sekitar 2012. Saya banyak menggunakan benda-benda yang biasanya takkan kelihatan dalam dewan kuliah.

Saya bersyukur dan juga melihat ini sebagai ujian – dalam hidup ini, kita diuji dengan kesusahan dan juga kesenangan dan apabila yang baik berlaku, kita diuji untuk tahu sama ada kita masih berharap pada Allah atau kita sudah lupa pada rezeki-Nya. Topeng itu adalah sebagai tanda peringatan,” kata Nazriq.

Sementara itu, Nur Izyan Farhani Arifin, pelajar yang mula memuatnaik gambar Nazriq memakai topeng tersebut ketika dihubungi berkata menyaksikan pensyarah beliau itu memakai topeng ke kelas beliau berasa gembira dan panik pada masa yang sama.

“Sebabnya saya pun sukakan Iron Man dan juga pensyarah saya itu seorang yang sangat ceria jadi apabila dia memakai topeng Iron Man itu apa yang terlintas di fikiran saya adalah mesti ada benda yang tidak kena dengan tugasan kami, sebab itu beliau pakai topeng untuk menyembunyikan wajah beliau.”

Nur Izyan juga berkata yang beliau sangat menggemari kelas yang diajar oleh Nazriq dan selalu tertunggu-tunggu untuk menghadirinya kerana kelas itu amat menyeronokkan.

Hantaran pertama Nur Izyan ke Twitter sehingga kini sudah dihantar semula oleh para netizen sebanyak 37,000 kali.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast