Khairy bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail dalam pertemuan enam mata, semalam.

KUALA LUMPUR – Ramai menyifatkan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengadap Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) semalam, sebagai langkah bijak bagi meredakan keadaan.

Rata-rata tidak mahu hubungan istana Johor dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu renggang sehingga akan menjejaskan mutu sukan negara dan politik tanah air.

Khairy mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi menyelesaikan isu cabaran baginda berhubung kemenangan pasukan Polo Malaysia dalam acara sukan polo pada Sukan SEA 2017 baru-baru ini.

Tindakan itu mendapat pujian netizen yang mengatakan, tindakan Khairy itu membuktikan kewarasan serta patut menjadi contoh kepada pemimpin lain.

Netizen Zainil Ahmad menyatakan, tidak luak pun taraf kepimpinan, bahkan cukup tinggi cara pemikiran Khairy dan sememangnya layak sebagai pemimpin muda yang berintegriti.

Zailan Mustapha pula meninggalkan komen, betul-betul anak jantan dan kenapa hendak melatah.
“Alhamdulillah, inilah ciri pemimpin yang kita cari. Dua-dua saya suka. Terbaik semua,” ulas netizen Mohd Fadzil.

Begitu juga ulas Kamarudin Hassan Dino, berdiri bukan untuk melonjak, duduk bukan untuk menyembah. Bermesyuarah adalah yang terbaik demi untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.

Semalam juga, Facebook rasmi istana Johor, Johor Southern Tiger menyiarkan 10 keping gambar dengan tajuk: HM Sultan Of Johor and HRH Crown Prince Og Johor Grant Audience to YB Khairy Jamaluddin. Hidup Johor Demi Johor.

Khairy berbuat demikian selepas dicabar oleh Sultan Ibrahim agar pasukan polo Khairy Jamaluddin berentap dengan pasukan polo Johor.

Cabaran Sultan Ibrahim yang bertajuk, Kalau Anak Jantan, Lawan Dengan Pasukan Johor’ juga disiarkan dalam facebook berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah pasukan yang bertanding untuk sukan polo di temasya Sukan SEA ibarat ‘hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja’.

“Saya menjemput Menteri Belia dan Sukan untuk datang dan tidak menghampakan kehendak rakyat untuk melihat pasukan anda mengalahkan pasukan Johor. Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor.

“Saya akan hantar dua anakanda saya dan dua orang penjaga kuda ataupun saya sekali kerana saya melihat diri saya masih handal lagi. Kalau pasukan saya kalah, saya akan akui bahawa pasukan Sukan SEA itu lagi baik dan semuanya handal-handal belaka.” – MalaysiaGazette