Najib Razak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM

 

PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai ruang untuk memperkemaskan jentera mereka dalam fasa-fasa terakhir sebelum ‘wisel’ dan ‘beduk’ pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dibunyikan.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, hasil pemantauan menerusi persidangan perwakilan UMNO di seluruh negara, beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan jentera parti, namun menurutnya masih ada ruang untuk ia diperbaiki bagi memastikan BN menang besar dan terus kekal memegang tampuk pemerintahan negara.

“Keadaan kita dari segi kesiapsiagaan berada di tahap baik dalam erti kata kalau saya sebagai perdana menteri, nak pukul beduk ataupun atau tiup wiselnya, tahap kesiapsiagaan sudah baik. Namun kalau kita bersifat perfectionist (mementingkan kesempurnaan), kita tak akan berpuas hati sehingga segalanya sempurna.

“Saya masih anggap ada ruang untuk terus tingkatkan kesiapsiagaan, tingkatkan komitmen, termasuk dalam aspek penugasan masing-masing. Walaupun sudah dilakukan dengan baik, namun saya kira masih ada lagi ruang untuk tingkatkan apa yang patut kita lakukan untuk jamin kejayaan cemerlang dalam PRU14 nanti,” katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pekan berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini Ahad.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

UMNO Pekan merupakan penutup kepada 191 persidangan UMNO bahagian di seluruh negara.

Menurut Najib, beliau turut berpuas hati dengan perjalanan persidangan UMNO di seluruh negara yang lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Saya dapat pengesahan daripada (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir di serata tempat (persidangan) bahawa anggota UMNO dari Perlis ke Sabah berada dalam keadaan lebih semangat menampakkan UMNO parti yang lebih tersusun dan disiplin berbanding pembangkang.

“Saya juga tidak terima laporan berlaku kerusi melayang ataupun peristiwa membakar suar dan sebagainya, pendek kata tidak ada disiplin buruk sepanjang persidangan diadakan,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menyeru semua lebih 13 juta anggota UMNO di seluruh negara supaya memiliki roh perjuangan parti, bersatu padu dan wala’ (setia) kepada pemimpin bagi membolehkan parti terus menjadi tunjang pemerintahan negara. – Bernama