KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini membidas sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap identiti Bangsa Johor.

Dalam satu kenyataan, menurut Khaled, mengangkat darjat sesebuah bangsa bukanlah perkara yang asing dalam ajaran agama Islam.

Seperti yang terkandung dalam beberapa ayat dalam al-Quran dan Hadis Muhammad SAW, agama Islam bukan sahaja menerima dan mengharmonikan amalan kepelbagaian budaya malah mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan etnik termasuk dalam konteks Bangsa Johor.

“Bagi sesetengah pihak, konsep Bangsa Johor tidak mempunyai makna, saya ingin membidas pandangan tersebut kerana Islam sendiri mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan etnik.

“Dalam kajian sirah, budaya menggunakan tempat asal sebagai sebahagian daripada identiti diri adalah sesuatu yang tidak dihalang oleh Islam termasuk dari kalangan ramai sahabat Rasulullah SAW yang menggunakan nama tempat asal mereka sebagai sebahagian daripada pengenalan diri,” ujarnya.

Justeru, menurut Khaled, penolakan konsep Bangsa Johor merupakan satu bentuk penghinaan moral secara tidak langsung kepada pejuang yang mengangkat martabat tanahair.

“Pihak yang menolak konsep Bangsa Johor juga ada yang berhujah bahawa ‘ia hanyalah jolokan yang tidak lebih daripada sekadar nama’ sedangkan Islam itu lebih besar dari nama bangsa dan negara.

“Mendengar pandangan begini, saya tidak boleh lari dari memikirkan tentang apakah yang akan dirasakan oleh mereka yang selama ini berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanahair.”

Oleh itu, menurut Khaled, konsep Bangsa Johor yang diterap dalam segala hal di negeri itu juga merupakan satu manifestasi peradaban dan kemodenan negeri tersebut.

“Sepanjang sejarah peradaban manusia terdapat terlalu banyak tamsilan yang menunjukkan rumpun manusia yang berpisah-pisah dan pelbagai telah disatukan atas satu identiti yang bersandarkan tempat asal dan tanahair.

“Mereka hadir bersama, membentuk identiti diri, membina organisasi dan bergerak sebagai sebuah komuniti. Atas satu nama, atas satu ikatan dan ia adalah ikatan yang mewujudkan rasa kebersamaan dan penerimaan yang paling mudah untuk dibentuk dan diraikan. Sekaligus boleh menjadi unsur identiti yang unik dan menarik,” katanya.

Akhirnya, sekiranya masih ada mana-mana pihak yang mempersoalkan apa yang ada pada konsep Bangsa Johor ini, mereka perlu tahu segala-galanya ada pada Bangsa Johor, tambah Khaled. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast