Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat pendedahan berkenaan perpecahan dua kumpulan besar dalam partinya.

Pendedahan tersebut mula tersebar meluas di laman-laman sosial sejak malam tadi.

Berikut antara petikan kenyataan Rafizi:

Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara KEADILAN dengan PAS berpanjangan kerana ia satu keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya KEADILAN semata-mata.

Keputusan sama ada KEADILAN menumpukan kepada persediaan pilihanraya bersama Pakatan Harapan sepenuhnya (termasuk bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS) atau “berada di dalam dua kolam” (bersama Pakatan Harapan tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru) adalah keputusan yang perlu mengimbangi beberapa perkara.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan KEADILAN baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun Pakatan Harapan ditubuhkan. Malah semasa Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya dari jawatan Setiausaha Agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam KEADILAN.

Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik KEADILAN mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan KEADILAN sebagai tonggak kerajaan Selangor. Hasil dari pendapat ini adalah mudah:

KEADILAN tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihanraya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan di dalam KEADILAN dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di satu pihak lagi merasakan KEADILAN mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan satu gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya KEADILAN di dalam politik tanahair adalah kerana KEADILAN adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan KEADILAN sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan KEADILAN dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan KEADILAN yang berpendapat begini adalah saya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Dato’ Johari Abdul (Ketua Whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan) dan William Leong sendiri.

Parti terbahagi dua

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara dua pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi KEADILAN tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin KEADILAN membidani lahirnya Pakatan Harapan dicelah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis civil society.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya KEADILAN membina Pakatan Harapan dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan dapat diredakan. Matlamat utama ialah untuk membina satu barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan satu lawan satu di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada di dalam Pakatan Harapan atau tidak).

Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada AMANAH dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.
Kajiselidik yang semakin merumitkan

Pertembungan di antara dua pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kajiselidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kajiselidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kajiselidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar. – MalaysiaGazette

Comments are closed.