Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak yakin populariti Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal tidak mampu menandingi populariti UMNO di Sabah terutama Semporna.

Malah, beliau yakin UMNO Semporna mampu merampas kerusi parlimen tersebut daripada Shafie.

Ia berikutan rakyat Semporna lebih mengutamakan kepimpinan parti UMNO berbanding kepimpinan Shafie Apdal.

“Saya tidak nampak UMNO Sabah tergugat. Sejarah politik Sabah membuktikan populariti pemimpin tidak dapat mengatasi populariti parti (BN).

“Suka atau tidak, memang ada kesan sedikit, terutama di Semporna. Tapi saya yakin, rakyat Sabah sedar yang parti lebih utama dari individu.

“Kita yakin UMNO mampu pertahankan Semporna daripada parti lain, saya percaya rakyat Semporna lebih mengutamakan parti berbanding individu, meskipun dia (Shafie Apdal) sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas perkembangan semasa politik di negeri Sabah. – MalaysiaGazette