Datuk Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Usahawan, Datuk Shamsubahrin Ismail percaya anaknya telah terjebak dengan sindiket maksiat yang berselindung dengan nama ‘club ambassador’.

Shamsubahrin mendakwa ‘club ambassador’ adalah nama lain bagi GRO yang bertujuan mengaburi kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Dalam kejadian 30 Julai lalu, anaknya Siti Sarrah Shamsubahrin, 20, telah keluar dari rumah pada waktu tengah malam menaiki kereta bersama empat individu lain.

“Anak saya telah diambil oleh rakan yang tidak saya kenali, pada waktu saya tiada di rumah. Mereka telah bawa anak saya dan serahkan kepada gadis Cina. Yang mana anak saya pun tak kenal siapa gadis ni,” beritahu Shamsubahrin.

Dia bagaimanapun telah membuat laporan polis sejurus itu kira-kira jam 3.14 pagi di Balai Bukit Beruntung.

Shamsubahrin menjelaskan, anak ketiga dari lima beradik itu diberi layanan baik dan mereka tidak bertengkar.

Namun kelakuan anaknya mula berubah setelah mula belajar di sebuah kolej swasta di Shah Alam.

Dia percaya anaknya terlibat dalam kegiatan GRO setelah terpengaruh dengan rakan-rakan.

Ini kerana anaknya tidak mempunyai masalah kewangan kerana dia selalu memberikan anaknya duit.

“Ada ejen yang berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Dia menawarkan ganjaran yang bagus kepada gadis-gadis Melayu muda.

“Dia (ejen) akan tempatkan gadis-gadis ini di semua lokasi-lokasi kelab malam. Untuk melayan pelanggan minum arak, minum bersama pelanggan, dapat komisen.

“Saya difahamkan satu malam mereka boleh dapat lebih kurang RM500 hingga RM1,000. Ada yang boleh dapat lebih dari itu,” dakwanya.

Shamsubahrin percaya anaknya kini masih berada di Lembah Klang kerana dia masih memantau laman sosial anaknya seperti facebook, instagram dan twitter.

                                  SITI SARRAH

Melalui pemantauan itu dia mendapati anaknya terlibat dengan pekerja ‘club ambassador’.

Terdahulu Shamsubahrin pernah berjumpa dengan rakan-rakan anaknya yang mengaku bekerja sedemikian.

Dua hari sebelum kejadian, dia pernah membawa balik anaknya dari sebuah hotel ketika sedang bersama rakan-rakannya.

Selepas kejadian, tiada pertengkaran terjadi antara mereka sehinggalah anaknya membuat keputusan keluar dari rumah.

Ditanya kenapa dia tidak mencari anaknya, Shamsubahrin enggan berbuat demikian kerana menyifatkan Siti Sarrah sudah cukup dewasa untuk berfikir.

“Saya ambil keputusan tak nak cari sebab itu pilihan dia sebab dia dah dewasa. Biar satu hari, biar dia jatuh biar dia tahu kenapa saya tak suka dia berkecimpung dengan gejala macam itu.

“Dia rasa dia boleh hidup tanpa saya. InsyaAllah suatu masa, Allah maha besar. Dia akan jatuh, masa itulah dia akan belajar,” tambahnya.

Dalam pada itu Shamsubahrin berharap agar ibu bapa berhati-hati dengan anak-anak mereka di pusat pengajian tinggi.

Ini kerana sindiket ini mensasarkan untuk menjerat anak gadis terutamanya berbangsa melayu untuk dijadikan GRO.

Berdasarkan nama syarikat yang diberi Shamsubahrin, syarikat berkenaan berdaftar dengan SSM pada penghujung tahun lalu.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial instagram pula mendapati syarikat berkenaan menawarkan kepada sesiapa sahaja untuk dibayar bagi menghadiri parti.

Malah salah satu daripada posting menawarkan untuk ditemani lima gadis dan mendapat sebotol air percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast