Sultan Nazrin Shah
KUALA LUMPUR – Dalam memperingati pemergian Tun Abdul Razak Hussein lebih 40 tahun, wawasan dan nilai-nilai murni Perdana Menteri kedua itu perlu dikunjungi semula, dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah negara dan warga pada hari ini bukan sahaja kehilangan jasad seorang negarawan besar, tetapi negara dan warga lebih bimbang akan kehilangan wawasan Tun Abdul Razak.

Wawasan Allahyarham adalah untuk membina sebuah negara yang kukuh bersatu teguh berpadu, disemai dan dipupuk melalui alam sekolah, begitu juga nilai-nilai kepimpinan yang berlandaskan amanah, pengorbanan, integriti dan akauntabiliti agar negara kekal merdeka lagi berdaulat, makmur lagi dihormati.

Ketika melancarkan buku ‘Fulfilling A Legacy-Tun Razak Foundation’ di sini hari ini, baginda mengajak rakyat mengimbau kembali lima legasi yang ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak setelah menjadi Perdana Menteri selama 1,941 hari sejak 22 Sept 1970 sebelum meninggal dunia pada 14 Jan 1976.
Legasi-legasi itu ialah mengembalikan kuasa memilih kerajaan kepada rakyat dengan membubarkan Majlis Gerakan Negara (Mageran); mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada pemimpin dan parti UMNO serta Barisan Nasional;

Orang Melayu dan Bumiputera diberikan kepercayaan untuk memimpin pelbagai organisasi kerajaan, badan-badan korporat serta swasta; membandarkan kawasan desa dengan membangunkan pelbagai kemudahan asas serta pembukaan tanah rancangan Felda; dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di pelbagai peringkat daripada sekolah hingga ke universiti.

Sultan Nazrin bertitah Tun Abdul Razak menerima tanggungjawab Perdana Menteri kedua ketika negara berhadapan dengan lima senario iaitu negara berada dalam inkubator pemulihan politik setelah berlaku peristiwa 13 Mei, 1969; Umno dan Perikatan menghadapi defisit keyakinan yang besar susulan hilang majoriti dua pertiga dalam Pilihan raya Umum Ketiga pada 10 Mei 1969.

Senario lain ialah orang Melayu dan Bumiputera dalam mood membantah dan memberontak kerana kemerdekaan tidak memberi makna kepada mereka yang mengalami kesusahan hidup; majoriti orang Melayu dan Bumiputera tinggal di luar bandar dengan kemudahan asas yang minimum; dan kemudahan pendidikan terutama institusi pengajian tinggi masih terbatas.

“Di samping lima legasi utama yang ditinggalkan secara tersurat oleh Tun Abdul Razak, tersirat dua elemen yang mencerminkan nilai-nilai keinsanan dan roh Islam yang amat wajib diselami dan dihayati,” titah baginda.

Pertama, titah baginda, sifat tidak tamak kepada kuasa terbukti dengan kesediaan mengembalikan kuasa kepada rakyat serta kesediaan mahu menyerahkan kuasa secepat mungkin kepada barisan pengganti dengan memberikan amanah, tanggungjawab dan kepercayaan kepada tenaga muda dan barisan pelapis baik dalam parti, dalam kerajaan dan dalam pentadbiran.

Sultan Nazrin bertitah elemen kedua ialah sifat-siat amanah dan jujur, dijelmakan dengan amalan pentadbiran yang telus dan berintegriti, sangat berhati-hati membelanjakan wang negara, sangat teliti memastikan wang negara tidak disalahbelanjakan untuk diri dan keluarga.

“(Tun Abdul Razak) bertegas membayar balik setiap sen wang negara walaupun sebotol minyak rambut atau sebatang berus gigi keperluan peribadi, yang mungkin kakitangan beliau terlepas pandang, telah tersalah guna wang pejabat untuk membelinya semasa bertugas di luar negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah: “Tun Abdul Razak, andai kata masih bernafas, pastinya pada hari ini akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku dalam negara.”

Pertama, titah baginda, menyentuh mengenai wawasan Allahyarham berhubung perpaduan kerana dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti-parti politik pada masa ini, semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara-bara sensasi isu agama dan isu kaum.

Kedua: Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Penyata Razak menggariskan peranan penting sekolah untuk memupuk perpaduan warga melalui aliran pengajian kebangsaan.

“Hari ini, kaedah pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah dapat berperanan sebagai taman asuhan menyatupadukan warga.

“Generasi muda daripada pelbagai kaum pada hari ini, yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan mempunyai peluang untuk berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain, di sebaliknya mereka membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing,” tidah baginda.

Ketiga: Berlaku di peringkat pelaksanaan, pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar Dasar Ekonomi Baru, terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan, hingga mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-bearan.

“Keempat: Rasuah dan Integriti. Akan luluhlah hati Tun Abdul Razak, mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana perbuatan rasuah yang berlaku secara besar-besaran, melibatkan penjawat tinggi dan individu terpelajar, dengan amaun yang banyak, yang amat mencalar nama baik negara bangsa,” titah baginda.

Pada akhir majlis itu, Sultan Nazrin menyampaikan buku itu kepada isteri Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Rahah Mohammad Noah sambil bertitah rakyat perlu mengingati peranan penting yang telah dimainkan wanita itu sebagai sumber kekuatan Allahyarham Tun Abdul Razak dan wajar dijadikan contoh.

“Kepada Tun Hajah Rahah, negara dan warga turut terhutang budi kerana telah berkorban meminjamkan suami kesayangan kepada negara bangsanya. Negara dan warga wajib mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada beliau. Tun Hajah Rahah, sudilah menerima ucapan terima kasih dan penghargaan daripada kami,” titah baginda.

Turut hadir, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zarah Salim dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak, Tun Mohamed Hanif Omar.

— BERNAMA