SHAH ALAM – Usaha keras warga Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam telah berjaya mencipta rekod terbaharu dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi program Dengue Patrol SKS9.
Dengue Patrol SKS9 telah berjaya membina Logo Terbesar Daripada Rekaan Bunga Origami sempena misi anti-denggi sekolah tersebut dengan menggunakan 57,600 kuntum bunga lotus origami. Logo Origami yang berukuran 24.5 meter x 24.72 meter ini dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan.
Menurut Guru Besar SK Seksyen 9, Shah Alam, Md Isa Zakariya, pihak sekolah menyahut cabaran dalam melakar sejarah dalam MBR ini bagi memupuk kesedaran tentang bahayanya denggi.
Beliau turut berharap agar program ini dapat menyentuh hati rakyat Malaysia untuk sama-sama hapuskan nyamuk aedes, penyebab demam denggi.
Dalam pada itu, Md Isa turut melahirkan rasa syukur serta terharu beliau terhadap komitmen seluruh warga SK Seksyen 9, Shah Alam, yang sanggup menyahut cabaran untuk menempah nama dalam MBR.
“Misi yang boleh dikatakan sebagai misi mustahil ini berjaya dilakukan melalui kerjasama semua pihak. Guru-guru, anak-anak murid serta ibu bapa telah bertungkus lumus menyiapkan 57,600 keping origami lotus.
“Mereka amat komited untuk sama-sama jayakan cabaran program ini, malah, mereka berkerja tanpa mengira waktu. Lebih terharu lagi, program ini turut mendapat sokongan daripada ibu bapa yang sama-sama menghabiskan masa hujung minggu di sekolah untuk bersama-sama menyiapkan origami ini,” kata Guru Besar sekolah SK Seksyen 9.
Diilhamkan oleh Noraidah Badaruzaman, Guru Pendidikan Seni SK Seksyen 9, Shah Alam, origami bunga teratai dipilih sebagai asas logo ini kerana ianya mempunyai metafora yang sama seperti kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran, namun, haruslah terus bersinar dan menyerlah tanpa dipengaruhi dengan persekitaran yang keruh.
“Antara cabaran-cabaran genting dalam usaha mencapai cita-cita Dengue Patrol SKS9 selepas kami memutuskan untuk mencuba mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records adalah masa yang suntuk . Namun begitu, hasil daripada titik peluh semua pihak, kami telah berjaya menyiapkan 57,600 keping origami dalam tempoh dua minggu.
“Meskipun pada awalnya agak sukar untuk mengajar anak-anak murid untuk menghasilkan origami yang kemas, khususnya murid Tahap 1, kini, semua murid SK Seksyen 9, Shah Alam sudah pandai membuat origami lotus,” jelas Noraidah.
Terdahulu, Dengue Patrol SKS9 telah melancarkan trak Dengue Patrol SKS9 yang menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mengwujudkan kesedaran tentang bahayanya denggi. Pelbagai aktiviti khidmat komuniti turut diadakan seperti gotong-royong, kembara doktor muda ke sekolah-sekolah dalam dan luar negeri.
Mereka turut berkongsi kaedah pencegahan denggi melalui seni persembahan yang unik di dalam negara dan juga menerusi program pertukaran budaya ke luar negara.
- MalaysiaGazette