Home Utama Rasuah pengkhianatan kepada rakyat, negara – SPRM

Rasuah pengkhianatan kepada rakyat, negara – SPRM

Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu memiliki semangat patriotisme yang tinggi dan tidak goyah dengan ketamakan dunia sehingga terjerumus dalam kancah jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam ucapan sempena sambutan Hari Kemerdekaan esok berkata, rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara sehingga boleh menyebabkan kemerdekaan yang dikecapi 60 tahun yang lalu lumpuh dan musnah.

Tegas beliau, rakyat Malaysia perlulah menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya dan memerdekakan diri daripada cengkaman budaya yang boleh menghancurkan pembangunan insan dan negara.

“Seluruh rakyat Malaysia seharusnya mengecap erti kemerdekaan yang sebenar dan berganding bahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan dengan membina bangsa dan negara yang bersih
daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

“Justeru itu, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memerdekakan jiwa daripada ketamakan dan kecintaan kepada harta yang bukan dan tidak sepatutnya menjadi milik kita.

“Bersama-sama memerdekakan keluarga daripada rezeki yang diperolehi secara haram melalui rasuah dan salah guna kuasa,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini turut mengingatkan ibadah korban juga menuntut kita untuk memahami makna yang lebih luas tentang erti pengorbanan.

Jelasnya, setiap insan perlulah mempunyai ketabahan dan jati diri yang kuat dalam membangunkan negara yang tercinta tanpa terjerumus ke dalam belenggu rasuah dan salah guna kuasa yang akhirnya akan memusnahkan diri, keluarga dan negara.

“Aidiladha kali ini perlu dijadikan sebagai satu titik tolak untuk kita mengorak langkah serta terus komited berjuang menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salah guna kuasa demi membina masa depan negara yang lebih maju dan cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette