KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya akur akan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.
Azmin dilihat cuba untuk menjadi orang tengah dalam rundingan dengan Pas, setelah PH melantik beliau menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya PH, beberapa minggu lalu.
“Yang penting keputusan ini kita terima dan kita laksanakan.
“Fokus kita sekarang adalah untuk membina jentera di PRU-14 selaras keputusan Majlis Presiden PH,” katanya malam tadi.
Sebelum ini, Azmin mengeluarkan kenyataan bahawa rundingan pembahagian kerusi dengan Pas bukan inisiatif beliau sendiri, sebaliknya ia keputusan parti.
Ia bagaimanapun dinafikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dengan menyatakan parti pimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu pernah membuat keputusan itu, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen PH.
Selasa lalu, PKR, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP bersepakat memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU14 kelak.
Selain itu, PH juga mengumumkan kesediaan untuk menghadapi sebarang pertandingan tiga penjuru, jika berlaku pada PRU14 nanti. -MalaysiaGazette.