Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada majlis penutup Sukan SEA KL 2017 menandakan tamatnya temasya dwi tahunan tersebut yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. foto SAFWAN MANSOR, 30 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan 4 September ini sebagai hari cuti di seluruh negara sebagai hadiah kepada kejayaan temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang ditutup secara rasmi malam ini.

Beliau berkata, keputusan itu bagi menghargai semangat luar biasa rakyat dan pencapaian cemerlang hingga berjaya meraih 145 pingat emas sekaligus muncul juara keseluruhan.

“Tentu semua sedang tunggu sesuatu apa yang ditunggu. Tapi bukan senang nak bagi cuti.

“Malaysia sudah banyak cuti tapi kerana sokongan luar biasa, semua rakyat bersatu padu dan pencapaian atlit yang cemerlang, saya umum cuti umum pada Isnin ini,” katanya ketika berucap pada Ambang Merdeka 2017 yang sebelum itu KL2017 ditutup secara rasmi oleh beliau.

Pengumuman cuti itu menjadikan rakyat Malaysia menikmati cuti selama lima hari berturut-turut bermula dengan cuti umum Hari Kemerdekaan, Hari Raya Aidil Adha dan cuti hujung minggu.- MalaysiaGazette