Shahrum (belakang, empat dari kiri) bersama 10 atlet Sukan Sea KL2017 kelahiran Sepang yang diraikan atas kejayaan mengharumkan nama negara dan daerah.

SEPANG – Seramai 10 atlet kelahiran Sepang, Selangor yang berjaya memunggut pingat emas, perak dan gangsa dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 minggu lalu diraikan sebagai wira dan wirawati.

Kehadiran mereka pada majlis itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Atlet digelar wira dan wirawati yang mengharumkan nama negara dan Sepang khususnya itu ialah Nur Dhabitah Sabri yang memunggut emas dan perak dalam acara terjun, Mohammad Syamil Syazwan Ramli mengutip emas dalam acara boling padang dan Ahmad Syukri Abdul Aziz mendapat emas bagi acara perahu layar.

Tujuh lagi wira dan wirawati Sepang ialah Senthil Kumaran Selvarajoo membuat kutipan emas bagi acara karate do, Saiful Bahri Musmin (emas/petanque), Emma Firyana Saroji (emas/boling padang), Mohd Hazim Syahmi Shahrum (emas dan gangsa/ice skating), Lee Hup Wei (perak/lompat tinggi), Norashikin Mohamad Sayed (perak/perahu layar) dan Mohamad Iskandar Zulkarnain Ahmad (perak/taekwondo).

Menurut Shahrum, semua atlet itu diraikan pada malam pertama Hari Raya Aidiladha kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah dan begitu bangga sekali dengan pencapaian cemerlang anak Sepang dalam Sukan Sea KL2017 minggu lepas.

“Semoga mereka terus berjaya dan terus mengharumkan nama Malaysia dan daerah kelahiran mereka pada sukan dwitahunan ini akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast