Home Utama Jangan spekulasi kematian konsulat Madagascar

Jangan spekulasi kematian konsulat Madagascar

KUALA LUMPUR – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata, adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk membuat spekulasi terhadap kematian Houssenaly Zahid Raza, Konsulat Malaysia di Madagascar pada 24 Ogos lalu.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, kematian konsulat itu masih disiasat oleh pihak berkuasa.

Beliau memberitahu, Houssenaly telah memberi bantuan terbaik kepada kerajaan Malaysia bagi memudahkan dalam penemuan kemungkinan serpihan pesawat MH370 yang ditemui di Madagascar.

“Doa kami bersama-sama dengan keluarga beliau terutama pada saat-saat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Azharuddin membuat kenyataan itu selepas media Perth Now memetik kenyataan Blaine Gibson, pencari serpihan MH370 mendakwa Hosuseinaly yang bertanggungjawab menyerahkan bangkai pesawat MH370 kepada Malaysia dibunuh.

Pesawat MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang penumpang dan anak kapal.

Gibson juga mendakwa Houseinaly akan menyerahkan serpihan baharu pesawat tersebut ketika beliau dibunuh.- MalaysiaGazette