Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Perasmian First My Merdeka Water Inflatable Day di Kompleks Belia dan Sukan Maluri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 SEPTEMBER

KUALA LUMPUR – Penduduk negara ini diminta menyumbang sesuatu yang dapat memelihara dan mempertahankan maruah negara di persada dunia.

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ia merupakan tanggungjawab setiap individu yang lahir sebagai anak Malaysia yang harus dipegang sebagai pedoman hidup harian.

“Saya tidak merujuk perkara ini ke arah mana-mana individu atau pihak secara spesifik, ia hanyalah nasihat umum kerana kita selalu bercakap pasal patriotisme.

“Bagi saya perkataan patriotisme ibarat nobel.. bukan sekadar cogan kata atau berslogan semata-mata. Tetapi ianya satu-satunya impian bersama yang harus didukung kita semua sebagai bangsa Malaysia.

“Bukan sahaja kita perlu menghayati apa pengertian yang sebenar (patriotik) tetapi juga kena melaksanakan dalam kehidupan saban hari kita,” katanya kepada pemberita di Kampung Pandan di sini.

Tambah beliau, sebagai rakyat yang menjalani kehidupan biasa beliau mahu melihat negara berdiri megah di peringkat global.

“Saya mahu melihat negara menjadi tanahair yang dibanggakan dalam komuniti antarabangsa dalam semua aspek.

“Khususnya semasa saya melancong ke luar negara lebih kerap ketika ini, dapat merasakannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Tetap Persatuan Belia Prihatin Malaysia, Kelvin Ang yang sehaluan dengan Tee Keat berkata, pihaknya akan terus bergiat aktif menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebagai NGO yang tidak berasaskan keuntungan, persatuan itu mengambil inisiatif memupuk semangat patriotik dalam hati rakyat menerusi pelbagai program termasuk pemberian bendera percuma.

“Kami tanpa mengutamakan publisiti media, dengan sokongan dan dokongan syarikat rangkaian telekomunikasi, a2a, terus mara dengan visi aktiviti kemasyarakatan kami mensasarkan golongan anak yatim, warga miskin dan orang kelainan upaya untuk mendampingi mereka.

“Syarikat a2a yang membawa usahawan yang berprihatin menymbangkan dana untuk menganjurkan program meraikan anak-anak yatim dan golongan memerlukan satu inisiatif yang berterusan sentiasa diberi keutamaan.

“Malangnya antara situasi yang menyedihkan kami semasa pemberian bendera Jalur Gemilang kepada peniaga kedai kopi dan sebagainya mereka membuang bendera tanpa rasa hormat dan taat patriotik.

“Jika warga asing, mereka lagi menghormati Jalur Gemilang kita sehingga meminta lebih daripada kami untuk mengibarkan, tetapi orang Malaysia bertindak sebaliknya dengan mencampakkan bendera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast