Razali Ismail
KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya etnik Rohingya yang berada di negara ini perlu bersama dengan rakyat Malaysia dan bercampur gaul dalam masyarakat tempatan jika mahu dibantu.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri  Razali Ismail berkata, golongan itu tidak boleh hidup dalam kalangan kelompok etnik mereka sahaja dan meminggirkan diri daripada masyarakat luar.
“Saya fikir masa sudah tiba, kita perlu berurusan dengan semua orang, bukan hanya warganegara kita, tetapi juga ratusan ribu orang bukan rakyat Malaysia di sini.
“Saya dapat melihat mereka ini boleh diterima oleh rakyat keseluruhannya, bukan hanya kerajaan, dalam menyediakan beberapa jenis bantuan dan beri layanan baik kepada mereka,” katanya pada sidang media pada Persidangan Serantau Mengenai Demokrasi di Asia Tenggara di sini, hari ini.
Razali berkata, etnik Rohingya sepatutnya bertuah kerana masih ramai rakyat Malaysia terutamanya kerajaan bermurah hati membantu etnik yang tertindas lebih-lebih lagi melibatkan umat Islam.
“Malaysia sudah banyak kali bantu rakyat lain dan kita mampu melakukannya sekali lagi walaupun ratusan ribu jumlah mereka kerana rakyat Malaysia sangat bermurah hati dan kerajaan sentiasa ada membantu.
“Orang yang datang untuk tinggal di sini sangat cepat boleh belajar bahasa tempatan, cepat bercampur dengan orang-orang di sekeliling, tidak tinggal dalam kumpulan mereka saja,” jelasnya.
Sementara itu, Razali dalam ucapannya berkata, Malaysia bertahun-tahun telah menyetujui dan meratifikasi tiga daripada sembilan perjanjian hak asasi manusia teras.
Katanya, salah satu yang paling rendah di rantau ini tetapi menandakan niat untuk melindungi hak asasi rakyatnya seperti mana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Seperti kebanyakan negara-negara lain, cabaran asas masih terletak dalam menterjemahkan niat ini ke dalam tindakan dan sementara beberapa pelaksanaannya sangat terkenal, niat lain tetap tidak menentu.
“Walaupun asas demokrasi terdiri daripada integriti pilihan raya, negara-negara di Asia Tenggara seperti banyak negara di seluruh dunia, masih menghadapi cabaran dalam memenuhi standard integriti pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast