SEREMBAN – Beberapa kepingan siling Masjid Bandar Springhill, Port Dickson dilaporkan runtuh awal pagi ini, namun tiada sebarang kecederaan direkodkan.

Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Port Dickson Abd Rahim Atan berkata kejadian disedari jemaah masjid itu sebaik selesai solat subuh.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 8.54 pagi dan mengejarkan enam anggota ke lokasi kejadian. Sejurus sampai, dari luar masjid kami mendapati kubahnya telah condong ke kiri manakala separuh daripada genting masjid terjungkit. Di ruangan solat pula, kami mendapati beberapa keping siling masjid telah runtuh.

“Jadi tindakan segera yang diambil adalah memaklumkan kepada pengerusi masjid bahawa ruangan solat itu tidak selamat untuk digunakan jemaah buat sementara waktu kerana kami bimbang kubah masjid tersebut runtuh,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kes itu, bagaimanapun diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiasat punca kejadian.-BERNAMA