PHNOM PENH – Seorang wanita berusia 26 tahun didakwa memperdagangkan 24 wanita warga Kemboja untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia ditahan di Phnom Penh, menurut polis.
Oum Radin telah memperdayakan 16 wanita yang berasal dari wilayah Kompong Cha, enam individu dari wilayah Kompong Thom dan dua wanita wilayah Kompong Chhnang untuk pergi ke Malaysia dengan menjanjikan gaji bulanan antara AS$300 hingga AS$400, menurut kenyataan jabatan polis pada laman Facebook.
“Dengan mempercayai janji palsu, semua mangsa bersetuju untuk pergi (ke Malaysia) dan pesalah itu menyediakan dokumen dan pasport, membawa mereka ke Malaysia sejak 2014,” kata kenyataan itu seperti dipetik The Cambodia Daily.
Ketika berada di Malaysia, seorang broker membayar Radin sebanyak AS$1,500 untuk setiap wanita dan mereka dipaksa bekerja selama 18 jam sehari, tujuh hari seminggu, katanya.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut berjaya diselamatkan dan mangsa telah dihantar pulang, tambahnya.
Radin yang berasal dari Phnom Penh telah dibawa ke Mahkamah Perbandaran Phnom Penh semalam.
Kenyataan berasingan Kementerian Luar menyatakan kepulangan tiga pembantu rumah dari Malaysia dan 23 lelaki yang ditahan kerana bekerja secara haram di tapak pembinaan di Laos. – MalaysiaGazette