Home Dunia 2,600 rumah penduduk Rohingya dibakar

2,600 rumah penduduk Rohingya dibakar

BANGLADESH – Lebih 2,600 rumah telah dibakar di kawasan majoriti penduduk Rohingya di barat laut Myanmar pada minggu lalu dalam salah satu serangan keganasan yang membunuh minoriti Islam.

Kira-kira 58,600 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh, menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Pegawai Myanmar pula menyalahkan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) kerana membakar rumah-rumah penduduk.

Kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan terhadap pasukan keselamatan minggu lalu yang mendorong pertempuran dan serangan tentera yang lebih besar.

Tetapi penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladeh mendakwa pembakaran kediaman dan pembunuhan oleh tentera Myanmar bertujuan untuk mengusir mereka keluar dari Rakhine.

Usaha menangani isu 1.1 juta penduduk Rohingya merupakan cabaran terbesar yang dihadapi pemimpin Aung San Suu Kyi, yang dituduh oleh pengkritik barat tidak bersuara untuk minoriti Muslim yang telah lama dianiaya.

Menteri Luar Negeri Britain berharap Suu Kyi menggunakan “kualiti yang luar biasa” untuk mengakhiri keganasan.

“Aung San Suu Kyi dianggap salah satu daripada tokoh-tokoh yang paling mengagumkan di zaman kita, tetapi layanan terhadap Rohingya begitu malang, menjejaskan reputasi Burma,” kata Boris Johnson dalam satu kenyataan.

Serangan dan tindakan keras tentera telah membunuh hampir 400 orang dan lebih daripada 11,700 “penduduk etnik” itu telah melarikan diri dari kawasan, kata kerajaan yang merujuk kepada penduduk bukan Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast