KUALA LUMPUR – Seorang Pakar Kecemasan dan Trauma Malaysia menjelaskan, prosedur di semua jabatan kecemasan seluruh negara dalam memberi rawatan kepada pesakit di zon kritikal atau zon merah tidak memerlukan pembayaran dibuat terlebih dahulu.

Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir menegaskan, tidak ada isu pembayaran perlu dilakukan dahulu sebelum diberikan rawatan.

Malah katanya, jika pesakit itu pendatang tanpa izin (Pati), gelandangan ataupun orang gila sekali pun, jika keadaannya kritikal, rawatan akan diberikan tanpa perlu membayar terlebih dahulu.

“Ini kerana kerajaan Malaysia mengutamakan nyawa dari wang dan arahan yang diterima di setiap Jabatan Kecemasan dan Trauma di seluruh negara adalah jelas untuk pesakit di zon kritikal atau zon merah,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, apa yang menjadi viral mengenai kemalangan yang melibatkan seorang warga Singapura pada Jumaat lalu telah digunakan oleh media negara itu untuk menghentam perkhidmatan kesihatan kerajaan di Malaysia.

“Terlebih dahulu saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang Justinian Tan, warga Singapura yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru baru-baru ini.

“Namun ada beberapa maklumat di dalam laporan media di negara itu yang saya kira tidak benar sama sekali dan ada elemen tokok tambah keterlaluan.

“Namun Akta Fi (perubatan) negara ini juga jelas memberitahu, bagi pesakit warga asing di zon kuning atau hijau (semi kritikal dan tidak kritikal) pembayaran perlu dilakukan dahulu memandangkan keadaan pesakit masih stabil.

“Dalam kes Justinian ini, saya kira mungkin rakan mendiang keliru mengenai bayaran bagi pesakit lain di zon kuning memandangkan mangsa ketika itu dalam keadaan kritikal dan berada di zon merah,” katanya.

Dr. Abdul Rahman berkata, menuduh bahawa syarat wajib bayar baru dirawat diletakkan oleh pihak hospital kerajaan bagi pesakit kritikal adalah tidak masuk akal sama sekali.

Bahkan, ujar beliau, rawatan kepada pesakit kritikal tidak akan dilewatkan hanya kerana menunggu pembayaran di zon merah.

“Berdasarkan pengalaman saya merawat pesakit Singapura, kebiasaannya kami menghadapi masalah kerana maklum balas pertama pesakit atau waris Singapura apabila tiba ke Jabatan Kecemasan Malaysia adalah mereka mahu dipindah ke negara mereka atau hospital swasta.

“Saya berikan satu contoh kes yang saya rawat awal tahun ini. Pesakit mengalami serangan jantung di Melaka. Kami mahu memberikan ubat pencair darah Tenectaplase kerana Melaka tidak ada rawatan PCI.

“Namun, mereka menyatakan hasrat mahu ke Singapura kerana rawatan di sana dikatakan lebih baik. Sudah tentu ini membuatkan kami terhenti daripada memberikan rawatan ubat pencair darah seperti Tenectaplase kerana kami sedar rawatan di Singapura pastinya adalah PCI.

“Bagaimanapun, jarak jauh dan keadaan pesakit yang tidak stabil tidak memungkinkan perpindahan ke Singapura boleh dilakukan. Jadi pilihan seterusnya adalah mengesyorkan waris menghantar pesakit ke hospital swasta di Melaka yang juga mempunyai fasiliti PCI,” katanya.

Ulas Dr. Abdul Rahman lagi, adalah menjadi hak pesakit untuk mendapatkan rawatan di mana saja yang difikirkan terbaik.

Menurutnya, keluarga berkenaan menghubungi pelbagai hospital swasta di Melaka dan tidak lama selepas itu memaklumkan tidak jadi ke sana kerana faktor kos.

“Ini sudah tentu melewat-lewat dan melengahkan rawatan sebenarnya. Acap kali kes seperti ini berlaku mungkin kerana warga Singapura tidak percaya pada perkhidmatan kesihatan kita.

“Lihat saja komen di artikel yang dilaporkan media sana. Habis dikutuk hospital-hospital dan klinik-klinik kita,” ujarnya.

Mengenai kes Justinian, Dr. Abdul Rahman berkata, rawatan pembedahan kepala (craniotomy/craniectomy) sudah ditawarkan oleh pihak Hospital Sultanah Aminah (HAS), tetapi mereka menolak kerana kononnya pembedahan dilakukan oleh pegawai perubatan, bukan pakar.

“Perlu ditekankan di sini, pembedahan seumpama ini dilakukan oleh Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgery yang senior dan terlatih, bukan pegawai perubatan biasa.

“Sedangkan dari maklumat rakan saya yang bekerja sebagai doktor pakar anestesiologi di Singapura, operation (pembedahan) seperti ini juga dilakukan di sana oleh Resident Physician saja (menyamai pegawai perubatan), bukannya doktor pakar atau pakar perunding pun.

“Jadi masalah utama yang sering dihadapi oleh kami apabila mengendalikan pesakit Singapura adalah mereka tidak mempercayai kita dan mempunyai tanggapan negatif sebelum apa-apa pun berlaku,” katanya.

Beliau berkata, lihat sahaja dengan maklumat yang mereka sebut bahawa polis menyuruh mereka mencuci jalan raya setelah kemalangan.

“Seumur hidup saya, ini adalah pertama kali saya dengar kejadian suruh cuci jalan oleh polis.

“Wahai warga Singapura, kami tidaklah seprimitif seperti yang anda sangka. Kami ada Majlis Bandaraya yang ditugaskan untuk melakukan kerja seperti itu dan tidak perlukan anda untuk tolong cuci jalan.

“Sebagai seorang Doktor Pakar Kecemasan yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, saya kesal dengan tohmahan tidak berasas seperti ini yang dilemparkan ke atas kita oleh pihak tertentu.

“Lebih saya kecewa, apabila ada warga Malaysia yang turut menari mengikut rentak paluan pihak asing dengan turut mengecam dan mengutuk perkhidmatan kesihatan negara kita,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa bersama rakan yang baharu selesai makan dilaporkan mati selepas dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga, yang melarikan diri.

Bagaimanapun, media The Independent yang berpejabat di Singapura melaporkan, mangsa mati sebelum menerima rawatan di HAS berikutan dikatakan perlu membayar sejumlah wang sebelum rawatan dilakukan.

Dakwaan media itu turut dinafikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, yang menyatakan mendian yang cedera parah diberi rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa sebaranng desakan untuk bayaran deposit terlebih dahulu. – MalaysiaGazette