Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Biarpun Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memutuskan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali terus mempersoalkan keputusan itu.

Azmin yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PH berkata, tindakan beliau untuk terus berurusan dengan Pas terbukti betul susulan pengakuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membuka pintu rundingan antara PKR dan Pas.

“Terbukti saya betul. Kebenaran akan mengatasi penipuan. Mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan ikhtiar – bukan sekadar untuk meraih perhatian,” tulis Azmin dalam Facebooknya.

Sebagai Ketua Pilihan Raya PH, Azmin dilihat cuba untuk menjadi orang tengah dalam rundingan dengan Pas, namun akhirnya akur akan keputusan Majlis Presiden PH agar rundingan itu tidak diteruskan.

“Yang penting keputusan ini kita terima dan kita laksanakan.

“Fokus kita sekarang adalah untuk membina jentera di PRU-14 selaras keputusan Majlis Presiden PH,” kata Azmin pada Khamis.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun berkata apabila Pas memutuskan untuk tidak ikut bersama Pakatan Harapan, beliau menyarankan agar PKR tidak semestinya memutuskan hubungan dengan Pas.

Katanya, PKR harus meneruskan kerjasamana itu selagi ada kesediaan di pihak Pas untuk meneruskan perbincangan.

Anwar berkata, beliau konsisten menyuarakan pendirian beliau kepada parti-parti dalam PH, tetapi ‘pimpinan bearhak membuat penilaian dari semasa ke semasa’.

Anwar juga mendapati Azmin yang beliau tugaskan untuk menerajui rundingan tersebut tahu saranannya iaitu suatu strategi nasional dan tidak terbatas kepada Selangor sahaja.

Kenyataan Anwar muncul pada saat perpecahan dalaman PKR yang menyebabkan ahli-ahli PKR Kelantan enggan patuh kepada pimpinan yang dilihat sangat rapat dengan Pas. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast