Home Dunia Sakit perut selepas makan burger bulgogi McD

Sakit perut selepas makan burger bulgogi McD

SEOUL – McDonald’s di Korea Selatan menghentikan penjualan burger bulgogi pada hari Sabtu, selepas sekumpulan pelanggan mengalami sakit perut selepas menikmati burger itu di cawangan di Jeonju.

Tujuh pelajar sekolah menengah dan guru yang makan burger bulgogi pada 25 Ogos lalu juga dilaporkan mengalami demam yang tinggi.

Berikutan kejadian tersebut, McDonald’s Korea berkata, akan menangguhkan sementara penjualan burger ikonik Korea itu daripada menu dan bekerjasama dengan Kementerian Makanan dan Dadah Keselamatan (MFDS) dalam menentukan punca sebenar penyakit yang dihadapi oleh kumpulan tersebut.

“Keputusan untuk menghentikan penjualan burger bulgogi adalah tindakan awal ketika menunggu keputusan MFDS,” kata McDonald’s Korea dalam kenyataan media.

Insiden terbaru itu berlaku selepas aduan yang difailkan terhadap McDonald’s pada Julai lalu yang mendakwa daging burger hamburger yang tidak dimasak sempurna menyebabkan sekurang-kurangnya seorang perempuan mengalami sakit. – MalaysiaGazette